Lagi artikel menarik mengenai PROTON INSPIRA:)
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/11/04
PROTON Inspira yang bakal dilancarkan 10 November ini, menawarkan pengalaman pemanduan berbeza berbanding Mitsubishi Lancer yang ada dalam pasaran ketika ini, terutama aspek keselesaan pengendalian berikutan sentuhan teknologi Lotus pada model itu. Pengurus Projek PROTON Inspira PROTON Holdings Bhd (PROTON), Zulkiflee Bidin, berkata sentuhan teknologi Lotus itu mempertingkatkan ciri pemanduan dan pengendalian model berkenaan, sekali gus memberikan pemandu serta penumpang Inspira pengalaman memandu lebih menarik dan selesa. “Mitsubishi Lancer yang ada di pasaran ketika ini adalah model yang dipasarkan untuk segmen tertentu, khususnya golongan muda yang sukakan kenderaan yang tegar dan sporty.
“Bagi Inspira, selain mengekalkan ciri tegar serta sporty, ia turut dibangunkan bagi memenuhi keperluan keluarga yang mahukan kereta selesa tetapi kualiti pemanduan kelas terbaik.
“Dengan menerapkan teknologi Lotus dalam pemanduan dan pengendalian, model sedan baru PROTON ini dijangka mampu memikat dan menarik perhatian semua golongan termasuk mereka yang berkeluarga,” katanya pada taklimat media ketika lawatan ke kilang pemasangan Inspira di Shah Alam, semalam.
PROTON Inspira dibangunkan bersama oleh PROTON dengan Mitsubishi Motor Corporation (MMC) dari Jepun menerusi kerjasama strategik baru antara syarikat berkenaan.
Menerusi kerjasama itu, MMC menawarkan model Lancer versi terkininya kepada PROTON untuk diubah suai dan dikeluarkan sebagai model PROTON.
Syarikat Jepun itu juga sebelum ini mengadakan kerjasama hampir sama dengan Peugeot yang mana model Outlander diubahsuai serta dikeluarkan sebagai model SUV syarikat Perancis itu.
Zulkiflee berkata, peningkatan pengendalian dan keselesaan pemanduan yang dilaksanakan PROTON itu mendapat pujian MMC apabila tiga juruteranya yang ditugaskan memantau pembangunan model itu, memberikan maklum balas positif selepas memandu uji Inspira.
“Meskipun hasrat PROTON untuk membuat beberapa perubahan kepada Inspira ditentang, namun selepas beberapa sesi penerangan dan ujian, mereka terkejut dengan peningkatan dibuat, sekali gus memuji usaha PROTON itu,” katanya.
Inspira yang setakat 3 Oktober lalu sudah menerima 1,500 unit tempahan, akan ditawarkan pada harga permulaan RM79,888 seunit.
Sebanyak 300 unit model Inspira yang ditawarkan dengan dua kapasiti enjin iaitu 1.8 liter dan 2.0 liter dan didatangkan dalam empat warna iaitu merah, hitam, perak dan putih itu, kini sedia untuk diserahkan kepada pembeli, manakala hampir 500 unit dalam peringkat pengeluaran akhir.
No comments:
Post a Comment